HUMANITY FOR PALESTINE

segalanya tentang palestin kita

ad

BADAR: Suatu Ketetapan dan Keyakinan


Dan hujan rahmat turun renyai-renyai di bumi Allah itu.

Butir-butir manik hujan itu mengusir segala keraguan, menghapus semua resah.

Semarak jihad semakin membara-bara di dada ahli-ahli Badar.

Yakin akan tertegaknya panji-panji Ilahi di muka bumi itu.

“Ingatlah ketika kamu dilitupi oleh perasaan mengantuk sebagai satu pemberian aman daripadaNya, dan ingatlah ketika Dia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk menyucikanmu dengannya dan menghapuskan darimu gangguan dari syaitan dan jua untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian kamu.”

(Anfal 8:11)

Dalam lena kaum muslimin di malam 17 Ramadan yang hening itu, Baginda SAW menunjuk ke arah medan pertempuran Badar seraya berkata;

“Inilah tempat kematian kaum musyrikin esok hari, InshaAllah.”

Semarak Api Peperangan

Akhirnya Ghazwatul Badar yang tak dijangka-jangka itu tercetus jua.

3 orang pahlawan Allah, Ubaidah al-Harith, Hamzah asadullah dan Ali diarahkan Baginda SAW untuk mara ke hadapan untuk menyahut cabaran pertempuran dengan pemimpin-pemimpin Quraisy.

Dengan izinNya, kesombongan kaum Quraisy itu langsung ditundukkan dengan tersungkurnya satu demi satu pemimpin Quraisy hingga menyembah tanah oleh pukulan-pukulan kencang pahlawan-pahlawan Allah itu.

Kemarahan kaum musyrikin tak terbendung lagi.

Mereka terus meluru ke arah tentera Islam.

Kaum muslimin pula bertindak mempertahankan diri sehingga kaum musyrikin mengalami kekalahan yang besar.

“Ahad…Ahad…” meniti bibir tentera-tentera Allah setiap kali mereka berjaya menundukkan kesombongan yang nyata ditunjukkan oleh kaum musyrikin.

Munajat Rasulullah SAW


Saff-saff perjuangan tentera Allah dikemaskan. Lantas Baginda SAW terus-terusan bermunajat kepadaNya;

“Ya Allah Ya Tuhanku. Perkenankanlah apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah Ya Tuhanku, Perkenankanlah apa yang telah Engkau janjikan kepadaku.”

Peperangan semakin memuncak. Detik-detik penentuan hampir tiba.

“Ya Allah Ya Tuhanku. Seandainya Engkau binasakan pasukan kecil ini, maka Engkau tidak akan disembah lagi di muka bumi ini selepas ini untuk selama-lamanya.”

Rasulullah memanjatkan lagi doa kepadaNya. Sungguh-sungguh baginda dalam doanya sehinggakan terjatuh kain serban dari bahunya.

Lalu Abu Bakar yang melihat meletakkan kembali serban tersebut di bahu Rasulullah SAW seraya berkata;

“Cukuplah wahai Rasulullah SAW akan permintaan mu kepada Tuhanmu itu.”

Dan pada detik itu, saat kemenangan semakin terasa. Wahyu yang menjanjikan bantuan dan ketetapan dari Allah diturunkan kepada RasulNya SAW;

“Ingatlah ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankanNya bagimu. “Sungguh, Aku akan mendatangkan bala bantuan kepadamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut.”
(Anfal 8:9)

Nabi Muhammad SAW lalu berkata kepada Abu Bakar sambil memakai baju besi;

“Terimalah berita yang menggembirakan wahai Abu Bakar. Pertolongan Allah telah melewati engkau. Itu dia Jibrail yang memegang kekang kudanya, memecutnya ke hadapan merentas debu-debu yang berterbangan.”

Baginda pun langsung membacakan ayat Allah;

“Kumpulan mereka yang bersatu itu tetap akan dikalahkan dan mereka pula akan berpaling lari.”
(Qamar 54:45)

Digenggam pula di tangannya pasir lalu dilontarkannya pasir itu ke arah kaum Quraisyh seraya berkata;

“Musnahlah kalian semua.”

Fath

“Demi Tuhan yang jiwa aku di tanganNya tak seorang pun yang memerangi mereka itu, yang penuh dengan kesabaran, perkiraan dengan Allah dan tidak lari, kemudian mati syahid kecuali dimasukkan oleh Allah ke dalam syurgaNya.”

“Ayuh, perolehilah syurga yang keluasannya seluas petala langit dan bumi.”

“Akan kalah semua kelompok itu dan akan beredar lari.”

Kata-kata semangat marak ditiupkan sambil baginda Muhammad SAW memacu kaum muslimin ke hadapan memburu kemenangan dan syahid.

Hinggakan lari Iblis mencampakkan dirinya ke dalam laut.

Hingga tamat riwayat Abu Jahal yang disifatkan oleh baginda SAW sebagai Firaun umat ini.

Hingga akhirnya kemenangan itu menjadi milik umat Islam, hanya dengan izin Allah SWT.

*****

Maka Badar itu mengajar kita agar tetap dengan pendirian kita (Islam).

Kita yaqin bahawa Allah itu berada di atas yang Haq (benar) dan akan memenangkannya.

Dan Badar juga mengajar kita bahawa keyaqinan kita pada ketetapanNya adalah mengatasi segala-galanya, segala apa yang ada di langit dan di bumi.

Membuatkan kita yaqin bahawa bumi Palestin itu akan kembali menjadi milik kita.

“Akan sentiasa ada segolongan dari umatku, yang menegakkan kebenaran. Mereka tidak akan tergugat oleh sesiapa pun yang menentang mereka, sehinggalah datang hari kiamat dan mereka tetap di dalam keadaan mereka”
(Rawahu Muslim)